May 20, 2019

Tips untuk memudahkan urusan masuk di Imigresen dan Kastam Jepun

Apa yang saya akan kongsikan ini berkaitan dengan pengalaman yang pernah saya lalui secara personal dan juga sebagai guide/penterjemah.

2 "pagar" utama yang perlu dilepasi untuk memasuki negara Jepun, iaitu Imigresen dan juga Kastam. Tersilap langkah boleh ditahan untuk disoalsiasat. Dan kalau lebih teruk lagi akan dihantar pulang atau ditahan di lokap!

Sebelum ke Jepun

1. Pastikan anda tidak membawa apa-apa barang yang menyalahi undang-undang atau barang yang mencurigakan. Contohnya dadah, barang-barang tiruan, senjata, produk berasaskan daging* dan sebagainya.

2. Sila pastikan anda mempunyai wang bekalan yang mencukupi untuk perbelanjaan di Jepun. Bawa cash yang secukupnya, bawa kad kredit/debit (jika ada), aktifkan pengeluaran ATM luar negara.

3. Anda tidak perlu memohon visa untuk memasuki Jepun sekiranya anda mempunyai passport Malaysia, tetapi pastikan passport anda jenis bercip dan tarikh sah sekurang-kurangnya 6 bulan selepas tarikh pulang dari Jepun.

Sebelum mendarat di Jepun

1. Pastikan anda mengisi borang pendaratan terlebih dahulu dengan betul. Pastikan anda mempunyai butiran tempat menginap iaitu alamat dan nombor telefon hotel/apartment/Airbnb. Sekiranya menginap di Airbnb, pastikan anda menyatakan sekali nama tuan rumah.

2. Sekiranya anda datang dengan jemputan, sama ada untuk company training, konferens atau jemputan keluarga, pastikan anda membawa sekali surat jemputan dari pihak yang berkenaan.  Sekiranya anda datang untuk melancong, itu lebih mudah.

Ketika mendarat di Jepun

1. Lalui prosedur seperti yang ditentukan. Beratur di imigresen untuk diambil cap jari, gambar muka serta dokumen. Passport dan borang pendaratan diperlukan di sini.

2. Ambil beg dan terus beratur untuk pemeriksaan kastam. Serahkan borang kastam di sini. Jika datang dalam satu kumpulan, anda boleh gunakan 1 sahaja borang kastam untuk mewakili semua.

3. Pastikan anda ingat nombor kunci beg atau mempunyai kunci beg yang anda bawa. Ini memudahkan urusan apabila diminta untuk membuka beg untuk pemeriksaan.

Setelah selesai pemeriksaan di kastam, sila keluar ke balai ketibaan. Anda tidak dibenarkan menunggu rakan-rakan/keluarga selepas pemeriksaan kastam. Sekiranya ingin menunggu, buatlah sebelum pemeriksaan kastam dijalankan.

Berikut adalah pengalaman sebenar yang pernah saya lalui.

Kisah pertama :  Dibawa ke bilik soal siasat kerana disyaki membawa dadah.

Kisah ini berlaku ketika saya belajar di tahun kedua prasiswazah di Jepun. Saya kembali ke Jepun setelah pulang bercuti di Malaysia. Saya masuk melalui Lapangan Terbang Narita. Ketika menunggu beg (selepas imigresen), saya diminta untuk ke bilik kecil untuk disoalsiasat.

Pegawai bertanya sama ada saya tahu undang-undang Jepun terhadap kesalahan membawa masuk dadah ke negara itu. Saya pun jadi cuak memikirkan kemungkinan ada orang yang meletakkan dadah dalam bagasi saya tanpa saya ketahui. Namun saya cuba untuk menjawab semua soalan dengan tenang.

Pegawai meminta izin untuk membuka dan memeriksa beg saya. Saya semakin cemas. Bagaimana kalau memang betul-betul ada? Adakah saya akan masuk lokap? Bagaimana kalau keluarga di Malaysia tahu?

Beliau telah memeriksa segenap sudut dalam beg saya. Tapi yang beliau jumpa (yang lain daripada yang lain) ialah sebungkus cili kering merah yang saya bawa dari Malaysia. Maklumlah, orang Melaka sentiasa nak makan yang pedas-pedas. Nak dapatkan cili yang just nice kepedasannya memanglah kena beli di Malaysia. Cili kering di Jepun yang ada di pasaran semuanya pedas sangat!

Rupa-rupanya anjing pengesan polis telah tersilap! Atau mungkin polis yang tersilap sangka tindak balas anjing terhadap cili kering saya itu. Maka beriya-iyalah pegawai tersebut meminta maaf daripada saya. Walaupun rasa sedikit marah, tetapi perasaan lega mengatasi semuanya. Alhamdulillah, saya dijauhi daripada perbuatan khianat atau yang seumpamanya.

Kisah kedua : Disoalsiasat kerana membawa barang berunsur keganasan.

Perkara ini berlaku baru-baru ini ketika saya membawa rombongan pelajar ke Jepun. Hampir kesemua ahli rombongan telah keluar ke balai ketibaan kecuali 2 orang. Kami menunggu agak lama, namun masih tiada bayang lagi. Tiba-tiba seorang lagi pelajar dipanggil masuk oleh pegawai kastam. Pada mulanya saya mengagak mereka ditahan kerana membawa produk makanan yang tidak dibenarkan. Tetapi setelah agak lama masa berlalu, saya pun menjadi syak. Saya masuk semula ke dalam (apabila pintu terbuka) dan bertanya kepada pegawai di situ.

Beliau telah menyatakan bahawa pelajar-pelajar tersebut sedang disoalsiat dan akan menghubungi saya sekiranya ada apa-apa yang diperlukan kerana saya boleh berbahasa Jepun. Beliau meminta untuk saya menunggu di luar. Sekiranya ada apa-apa, mereka akan mencari saya.

Agak sejam juga berlalu. Akhirnya pelajar-pelajar yang disoalsiat itu keluar. Apabila ditanya, rupanya salah seorang pelajar telah membawa buku yang berkisarkan tentang TERRORISME. Walaupun buku tersebut dalam Bahasa Melayu, namun perkataan "Terrorisme" sangat sensitif buat masyarakat Jepun yang mementingkan keamanan. Lebih-lebih lagi apabila Jepun akan menjadi tuan rumah kepada beberapa event penting tahun ini dan akan datang, seperti Persidangan G20, Kejohanan Ragbi Antarabangsa dan tahun depan Tokyo Olimpik.

Pemgajarannya di sini, jangan sekali-kali bawa barang yang berunsur keganasan. Sudahlah kita sebagai Muslim selalu disalahtafsir sebagai pengganas, kalau kita bawa pula barangan seumpamanya, memang dijadikan modal lah untuk disoalsiasat. Sudah beberapa kali saya dipanggil untuk pemeriksaan khas, hanya kerana saya memakai hijab. Geram pun ada kadang-kadang tu.

Kisah ketiga : Kesalahan membawa masuk najis dadah

Kali ini bukan main-main. Memang betul kes rakyat Malaysia membawa masuk dadah ke Jepun. Ada 2 kes. Kes pertama pesalah menjadi keldai dadah. Dia telah menyembunyikan sejumlah dadah di dalam seluar dalamnya untuk dibawa masuk. Kami mengenalinya kerana diminta menjadi penterjemah oleh keluarganya.

Dipendekkan cerita, dia telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda yang banyak. Kasihan keluarganya yang terpaksa bergolok bergadai untuk dia.

Kes kedua pula, seorang lagi rakyat Malaysia yang telah ditahan kerana membawa masuk dadah. Kali ini saya sendiri yang menjadi penterjemah. Untuk kes ini, saya menjadi lebih faham tentang undang-undang dan prosedur yang berkaitan dengan kesalahan ini kerana ada sesi dengan peguam.

Dalam kes ini, tertuduh membawa dadah untuk kegunaan sendiri dalam kuantiti yang sangat sedikit. Sekali pandang, kes ini tampak seolah-olah ringan kerana ia tidak bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Namun, sesi bersama peguam telah menunjukkan yang sebaliknya.

Di Jepun, kesalahan yang berkaitan dengan dadah ialah a) memiliki dadah (untuk kegunaan sendiri) b) memiliki dadah untuk tujuan mendapatkan keuntungan. c) membawa masuk dadah ke dalam negara untuk salah satu atau kedua-dua tujuan berikut.

Sekiranya anda membawa masuk dadah ke negara Jepun dan ditangkap, anda perlu "menunggu" di lokap balai selama 19 hari (maksimum) sebelum pihak pendakwaraya memutuskan untuk mendakwa anda di mahkamah. Dalam masa 19 hari itu, anda akan disoalsiasat oleh pihak polis dan pendakwaraya. Anda juga akan diberikan peguam yang dilantik oleh kerajaan Jepun.

Sekiranya pihak pendakwaraya memutuskan untuk mendakwa anda, anda terpaksa menunggu lagi sebelum kes pertama disebut, paling cepat 1 bulan. Menurut peguam, matlamat tidak akan menghalalkan cara. Maksudnya, walaupun anda membawa dadah dalam kuantiti yang sangat sedikit pun, anda tetap akan didakwa. Walaupun anda menggunakannya untuk tujuan merangsang motivasi diri untuk kerja (contohnya) tetapi itu semua tidak dikira. Yang penting anda ditangkap ketika memiliki najis dadah tersebut. Kalau cubaan bawa masuk ke negara Jepun, lagilah tinggi pemberatnya. Apatah lagi jika ia adalah untuk tujuan mendapatkan keuntungan.

Apa pun sebagai penterjemah, saya terpaksa mengawal perasaan. Kasihan kepada keluarga yang terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk datang melawat dan membayar penterjemah yang mahal. Satu lagi, apabila ada masalah bahasa, tidak semua yang kita nak sampaikan dapat disampaikan. Tak sama dengan berbahasa sendiri. Kemudian, anda terpaksa masuk di tempat tahanan di negara asing. Janganlah berharap dengan kedutaan. Mereka banyak perkara lain yang perlu diselesaikan.

Oh ya, peguam Jepun yang saya jumpa tempoh hari sangat tinggi integritinya. Beliau tidak mahu menerima apa-apa jua hadiah, mengingatkan kami undang-undang itu adalah undang-undang, yang perlu dibezakan dengan perasaan dan emosi. Juga, beliau tidak akan berkata bohong semata-mata untuk menyelamatkan keadaan.

Kesimpulannya, hati-hatilah sebelum ke negara orang. Jangan tertipu dengan orang yang cuba memperdayakan kita dengan menjanjikan wang yang banyak dengan menjadi keldai dadah. Fikir-fikirkanlah tentang orang yang tersayang.



No comments:

My Cat's Video